BERITAMediacorp:
Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Amin Nasir menghembuskan nafasnya
yang terakhir sekitar 11.00 malam pada Ahad (15 Jan).
Allahyarham, 46 tahun, meninggal dunia di Hospital Khoo Teck Puat setelah menghidapi penyakit barah perut sejak 2014.
Demikian menurut adik Allahyarham, bekas kapten pasukan negara Nazri Nasir, awal hari ini (16 Jan).
BERITAMediacorp difahamkan bahawa keadaan Allahyarham semakin bertambah tenat di hospital berkenaan sejak 6.00 petang semalam.
"Saya
tiba di hospital selepas maghrib semalam. Selain adik-beradik, Malek
Awab, Yahya Madon dan Fandi Ahmad turut berada di hospital semalam. Saya
turut memberitahu bekas pemain kebangsaan yang lain bahawa abang saya
sedang dalam keadaan tenat," kata Nazri.
"Beliau
bukan sahaja seorang abang, tetapi dia juga merupakan rakan karib saya.
Kami banyak berkongsi tentang pelbagai perkara dan beliau banyak
memberi motivasi kepada saya.
"Dan
saya juga sering memberikan sokongan kepadanya agar terus kuat
menghadapi penyakitnya ini," jelas penolong jurulatih skuad belia negara
pimpinan Fandi Ahmad itu.
Kedua-dua mereka pernah bermain bersama sewaktu Piala Malaysia pada 1994.
(Gambar: Instagram/Abbas Saad)
ALLAHYARHAM BARU SAJA PULANG DARI UMRAH
Seorang
lagi bekas pemain negara, Malek Awab, tiba di hospital tersebut sekitar
jam 9.00 malam. Menurutnya, arwah sedang bergantung kepada sistem
sokongan hidup kerana keadaannya ketika itu sedang nazak.
Beliau
berkata: "Arwah baru sahaja pulang dari umrah. Kami turut mencuba
sedaya upaya kami untuk membacakan surah Yassin kepadanya. Saya berharap
semoga dipermudahkan perjalanan beliau di sana".
SIKAP PROFESIONAL DALAM SEMUA ASPEK BOLA SEPAK
Ketika
dihubungi BERITAMediacorp, Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura
(FAS), Zainudin Nordin, berkata beliau menerima khabar tentang keadaan
Allahyarham sedang nazak melalui kiriman mesej Whatsapp.
"Arwah
adalah seseorang yang mempunyai minat mendalam dalam arena bola sepak
Singapura. Beliau pernah menjadi jurulatih di pelbagai peringkat,
termasuk di peringkat belia dan kelab, dan kami sangat berbangga dengan
pencapaiannya.
"Apa
yang istimewa tentang dirinya adalah arwah benar-benar bersemangat
terhadap bola sepak, sangat profesional dan mempunyai sikap sentiasa
ingin membantu. Itulah yang membuat ramai orang senang dengan
kehadirannya," kongsinya lagi.
Menurut
Encik Zainudin, pihak FAS juga sudah mencuba sebaik mungkin untuk
membantu Allahyarham dengan menawarkan pekerjaan dan sokongan kewangan
kepadanya sebelum ini.
Selain menjadi jurulatih kelab Hougang United, Allahyarham juga pernah berkhidmat di FAS secara sepenuh masa dan sambilan.
"Kami
mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Seluruh
masyarakat bola sepak tempatan turut berdukacita dengan pemergian
Allahyarham dan kami mendoakan keluarga Allahyarham tabah
mengharunginya," tambahnya lagi.
Jenazah Allahyarham Amin Nasir akan dikebumikan selepas zuhur.